Saturday, August 29, 2009

Fenomena Mat Rempit

Mat Rempit bukanlah satu fenomena baru, malah ia amat dikenali dikalangan masyarakat umum di Malaysia. Terma ‘Mat Rempit’ di Malaysia bermaksud individu yang menyertai perlumbaan haram menggunakan motosikal berkuasa kecil (Rozmi Ismail, 2004/2005). Mereka juga di cap sebagai samseng jalanraya kerana sering menimbulkan kekecohan di jalanraya dan dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial seperti merompak, merogol, menyerang serta membunuh orang yang melawan mereka. Media arus perdana acapkali melaporkan pandangan dan bantahan awam akibat dari kekacauan yang ditimbulkan oleh Mat Rempit seperti gangguan ketenteraman awam seperti bunyi bising pada waktu tengah malam, masalah dadah dan arak, mencuri untuk tujuan membeli dadah, pertaruhan, berkongsi perempuan dan seks rambang beramai-ramai. Aktiviti mereka bukan sahaja melanggar batas-batas norma dan nilai sosial masyarakat dan mereka telah membawa satu perubahan cara hidup yang menjurus kepada satu petumbuhan sub-budaya baru.

Perkataan rempit sebenarnya diambil dari bahasa inggeris ‘ramp-it’ yang menggambarkan pelumba memeras minyak di jalan raya (litar) yang akhirnya menjadi nama jolokan rempit bagi kumpulan terlibat (Rozmi Ismail, 2004). Akhir-akhir ini isu Mat Rempit menjadi semakin hangat dan merungsingkan semua pihak sehingga timbul perdebatan dari segi nama yang sesuai harus diberi kepada mereka misalnya ianya patut diberi nama dajal rempit kerana nama Mat Rempit nampak bersopan dan tidak sesuai dengan kelakuan mereka yang amat bertentangan dengan nilai sosial dan budaya masyarakat Malaysia. Namun apa yang jelas mereka adalah pelumba haram atau pelumba jalanan yang sentiasa wujud pada waktu malam di kawasan-kawasan tertentu dan menganggu masyarakat sekeliling.

http://www.youth.org.my/ippbm/penyelidikan/Rozmi.Norhayati.pdf



Antara faktor-faktor yang menjadi punca wujudnya virus “Mat Rempit” ini ialah :

Perasaan ingin mencuba

Oleh sebab desakan naluri remaja yang suka mencuba dan tidak takut kepada resiko yang bakal ditempuh, mereka berani melakukan apa sahaja. Mereka ini mudah berasa seronok dan ingin mencuba apa-apa yang dipaparkan oleh media.

Terpengaruh dengan rakan

Pengaruh rakan sebaya juga banyak memainkan peranan di dalam menentukan pemilihan aktiviti yang gemar dilakukan oleh sekelompok remaja ini. Remaja mudah terikut-ikut dengan apa-apa yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka tanpa memikirkan resiko yang bakal ditempuhi.

Gaya hidup dan taraf pendidikan

Gaya hidup remaja itu sendiri juga merupakan pendorong gejala “Mat Rempit” ini berlaku. Kebanyakkan remaja yang berpendidikan rendah yang terlibat dalam kancah gejala “Mat Rempit” ini. Pergaulan mereka hanya terdedah kepada kelompok yang sama dan memiliki pemikiran yang sama apatah lagi masing-masing memberi galakan ke arah negatif antara satu sama lain seperti cabar mencabar dan sebagainya. Keseronokan dan kepuasan merupakan tujuan utama dalam diri mereka.


Kurang kasih sayang dan perhatian ibu bapa

Kurangnya kasih sayang dan perhatian turut mempengaruhi tindakan serta sikap remaja. Apabila mereka merasa bosan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan mencari hiburan di luar rumah bersama rakan-rakan yang lain. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang suka berleter tatkala mereka berada dirumah. Hal ini membuatkan diri meraka merasa bosan dengan sikap ibu bapa tersebut.

Dengan demikian, virus “Mat Rempit” harus dibendung dengan segera sebelum ia menjadi penyakit yang paling parah dalam masyarakat kita. Semua pihak harus memikirkan apakah cara yang paling terbaik untuk mengatasi gejala sosial ini. Jika ia tidak dibendung dengan segera, ditakuti ia akan menjadi virus yang paling merbahaya di negara ini. Kalau dahulu mereka hanya merempit, tetapi sekarang golongan ini semakin berani melakukan apa sahaja sehingga sanggup membunuh dan sebagainya. Seolah-olah mereka tidak takut kepada hukuman yang bakal diterima.

Maka di sini terdapat beberapa cara untuk mengatasi dan membendung virus “Mat Rempit” ini daripada terus menular dalam masyarakat. Antaranya ialah :

Peranan dan tanggungjawab ibu bapa

Ibu bapa seharusnya menyedari bahawa kasih sayang dan perhatian yang secukupnya perlu diberikan kepada anak-anak mereka agar mereka mersai diri mereka dikasihi dan dihargai. Jangan terus membiarkan anak-anak menjadi liar gara-gara kegagalan ibu bapa memberi perhatian secukupnya. Luangkan sedikit masa untuk bersama dengan anak-anak. Bertanyakan masalah, mendengar luahan dan rintihan hati mereka.

Penguatkuasakan undang-undang dengan lebih efektif

Penguatkuasa undang-undang memang perlu untuk membendung virus ini. Di sarankan ianya agar lebih tegas daripada undang-undang yang sedia ada. Jangan biarkan mereka berasa lali dan tidak kisah dengan hukuman yang bakal mereka terima.

Dekati mereka dengan berhemah dan hikmah

Dekatilah “Mat-mat Rempit” dengan berhemah dan hikmah. Mungkin dengan cara ini mereka akan berasa diri mereka dihargai. Kata-kata motivasi dan kaunseling juga diperlukan untuk membendung virus ini. Jangan terus memberi tekanan kepada mereka. Sepertimana kita ketahui zaman remaja memang penuh dengan tekanan dan gelora. Mereka sentiasa inginkan perhatian masyarakat. Oleh itu berinteraksilah secara matang dengan golongan remaja ini, jangan memperlakukan diri mereka seperti budak kecil.

Sebagai kesimpulannya, kita jangan terlalu menyalahkan dan menunding jari kepada golongan remaja. Sebaliknya kita sebagai individu dewasa, bantulah golongan ini dengan profesional dan matang. Dekatilah mereka agar mereka merasakan diri mereka dihargai dan tidak tersisih daripada masyarakat.


http://ibnismail.wordpress.com


No comments:

Post a Comment